Monday 6 February 2012

Masyarakat KadazanDusun

PENGENALAN


KADAZANDUSUN merupakan kumpulan etnik (bumiputera) yang terbesar di Negeri Sabah. Masyarakat ini merupakan golongan petani, tetapi dengan perkembangan sosio-ekonomi yang dicapai oleh negara Malaysia sekarang, masyarakat ini beransur-ansur beralih kebidang perkhidmatan, perniagaan dan pertanian moden. 
SebelumSabah merdeka melalui Malaysia, masyarakat Kadazandusun dikenali sebagai Dusun, iaitu nama yang diberi oleh orang luar kepada mereka. Setelah mencapai kemerdekaan, mereka menggunakan nama"Kadazan"secara rasmi sebagai identiti mereka. Tetapi, oleh 'kerana masih terdapat etnik dari pedalaman yang berpendirian mendukung identiti"Dusun", istilah "Kadazan" dan "Dusun"dipersatukan menjadi"Kadazandusun" untuk memupuk dan menyatu padukan semangat"kesatuan" di kalangan mereka.

Menurut Persatuan Kebudayaan Kadazandusun Sabah(KDCA) dan di dalam perlembagaannya, Kadazandusun merujuk kepada empat puluh etnik seperti berikut: Bonggi, Lingkabau, Nabai, Tatana, Bundu, Liwan, Paitan, Tangara, Dumpas, Lobu, Pingas, Tidong, Gana, Lotud, Rumanau, Tindal, Garo, Lundayo, Rungus, Tobilung, Idaan, Makiang, Sinobu, Tolinting, Kadayan, Malapi, Sinorupu, Tombonuo, Kimaragang, Mangkaak, Sonsogon, Tuhawon, Kolobuan, Minokok, Sukang, Tutung, Kuijau, Murut, Sungai, Bisaya. Kesemua etnik ini mempercayai bahawa mereka berasal dari Nunuk Ragang,iaitu satu petempatan awal Kadazandusun yang terletak di Kawasan perkampungan Tompios dalam daerah Ranau.
Dari aspek bahasa, perbezaan loghat, sebutan dan ejaan banyak dipengaruhi mengikut etnik tertentu. Contohnya, sebutan dan ejaan suku kaum Kadazandusun dari satu daerah dengan daerah lain di negeri sabah adalah berlainan tetapi masih membawa erti dan makna yang sama.




LAGENDA NUNUK RAGANG


Nunuk Ragang merupakan satu kaitan yang rapat dalam membuka lembaran sejarah yang dikaitkan dengan masyarakat KadazanDusun. Masyarakat KadazanDusun mempercayai bahawa nenek moyang mereka berasal dari satu tempat yang bernama Nunuk Ragang yang bermakna “Pohon Ara berwarna merah”. Tempat tersebut terletak di satu kawasan hulu Labuk yang pada masa sekarang terletak di Daerah Ranau.
Nunuk Ragang dikatakan mempunyai dua buah sungai iaitu Sungai Liwagu dan Sungai Gelibang. Sungai-sungai ini mengalir ke arah timur Ranau dan juga Tambunan. Sungai-sungai ini memainkan peranan penting sebagai laluan utama perpindahan beramai-ramai masyarakat KadazanDusun ke seluruh pelosok tempat di Negeri Sabah.

LAGENDA PESTA KAAMATAN



Pesta Kaamatan atau "Magavau" dalam bahasa kadazan,merupakan upacara perayaan khas untuk menghormati "Bambazon"iaitu semangat padi. Perayaan ini adalah amalan secara tradisi kaumkadazandusun sejak zaman berzaman. Perayaan "Magavau" ini biasanyadiadakan selepas selesai menuai padi.

Pesta Kaamatan disambut sepanjang bulan Mei walaupun perayaan ini hanya pada 30 dan 31 Mei. Kemuncak perayaan Kaamatan adalah peraduan ratu cantik atau unduk ngadau, tarian tradisi, dan upucara kemuncak yang dijalankan oleh Bobohizan "ketua pendita".

Masyarakat Kadazandusunmempercayai bahawa padi mempunyai ‘semangat’ yang dikenali sebagaiBambarayon. Kepercayaan ini timbul ekoran cerita lagenda tentangKinoringan (tuhan) yang mengorbankan anak perempuannya yang tunggal iaitu Huminodun, yang telah dibunuh, dibelah 7 dan ditanam. Kemudian tumbuhlah pokok padi yang membolehkan manusia boleh hidup. Mitos ini telah menjadi lagenda masyarakat Kadazandusun turun-temurun yang menyebabkan timbulnya kepercayaan terhadap semangat padi serta keajaiban angka 7. Pemujaan ini dikendalikan oleh Bobolian, yang dikatakan mempunyai kemampuan berkomunikasi dengan alam ghaib. Upacara magavau yang sinonim dengan istilah moginakan,secara simboliknya bertujuan berterima kasih, memohon kemaafan (sekiranya ada padi/beras yang disia-siakan) serta harapan agar hasil padi pada masa akan datang lebih baik.

ASAL USUL MAGAVAU
Terdapat banyak sebutan perkataan Magavau ini mengikut dialek dan lokasi suku kaum Kadazandusun. Walau bagaimanapun ianya tetap membawa maksud yang sama. Menurut cerita lisan, Kinoingan(Tuhan ) dan isterinya Suminundu mempunyai seorang anak perempuan yang bernama Huminodun. Untuk menyelamatkan orang-orang Kadazandusun daripada kebuluran kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi, maka Kinoingan terpaksa mengorbankan anak kesayangan mereka Huminodun. Huminodun dibunuh dan mayatnya dikubur menurut adat istiadat selengkapnya. Kononnya, mayat Huminodun itu telah mengeluarkan berjenis-jenis benih tumbuhan yang menjadi makanan utama kepada kita sekarang. Salah satu benih tumbuhan itu ialah padi. Oleh kerana sebahagian dari mayat Huminodun itu mengeluarkan benih padi, maka wujudlah kepercayaan bahawa padi itu mempunyai semangat yang diberi nama"Bambazon". 
Bermula dari kejadian inilah orang-orang Kadazandusun memulakan upacara Pesta Kaamatan ( Pesta Menuai ) seperti yang kita rayakan dewasa ini. Perayaan seumpama ini mengharapkan agar rezeki yang akan datang bertambah baik dan lumayan. Upacara penghormatan terhadap semangat padi yakni padi-padi yang selesai dituai dan telah selamat dimasukkan ke dalam ketawai ( Tangkob ) iaitu bekas tempat menyimpan padi. Selain itu, perayaan Pesta Kaamatan ini juga mengingatkan kita akan rasa penghargaan dan penghormatan masyarakat Kaum Kadazandusun akan Penciptanya ( Kinoingan ) yang sanggup mengorbankan anak kesayangannya Huminodun untuk menyelamatkan orang-orangnya supaya tidak mati kebuluran.

MUZIK






Muzik tradisi yang ditonjolkan dalam kaum ini amat menarik dan unik. Alat-alat dan bunyi-bunyian tradisional ini banyak terdapat dalam suku kaum Kadazandusun dan ianya berpotensi untuk diwarisi oleh generasi muda kini. Antara lain alat-alat muzik tradisi yang popular ialah gong, sompoton, kulintangan, togunggu atau togunggak,bungkau, pumpuak, sundatang, suling, turali, tongkungon dan lain-lain lagi. Disebabkan masyarakat Kadazandusun ini memiliki pelbagai budaya yang unik mengikut etnik tertentu maka corak hidup mereka juga berbeza mengikut tempat tertentu. 

TARIAN





Tarian Sumazau merupakan tarian tradisi suku kaum Kadazandusun yang terkenal di seluruh Malaysia. Tarian ritualnya memenuhi pelbagai fungsi seperti mengucap kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi dan untuk menolak bala, menyemah semangat, dan mengubati penyakit. Juga melaluinya ibu-bapa/keluarga dapat menonton dan memilih bakal menantu yang berpotensi.
Irama Sumazau adalah perlahan. Alat alat pengiring tarian adalah set gong dan gendang. Pasangan penari berhadapan dan menggerak-gerakkan kaki berlangkah kecil, sementara tumit kaki diangkat-turunkan mengikut irama. Ketika menari tangan dikepakkan keluar, gerakannya turun naik seperti burung terbang. Biasanya Sumazau ditarikan semasa hari keramaian majlis jamuan Pesta Kaamatan. Kadang-kala tarian sumazau juga digunakan untuk hari perkahwinan masyarakat kadazandusun.

PAKAIAN TRADISIONAL

Pakaian Tradisional Suku Kaum Kadazan Penampang. Baju ini selalunya menggunakan kain hitam yang bersulamkan benang emas. Ia dipakai semasa sambutan Pesta Menuai.
Pakaian Tradisional Suku Kaum Dusun Tindal Kota Belud dipanggil ' Sinipak '.

MAKANAN DAN MINUMAN TRADISI
  • HINAVA- Hinava atau Hinava Ginapan merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah, dan boleh dikatakan sebagai merupakan makanan yang paling popular di kalangan kaum Kadazan-Dusun. Ia merupakan hidangan yang dihasilkan daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah , limau kapas dan garam. Isi ikan tersebut tidak perlu dimasak kerana ia akan masak dengan menggunakan perahan jus limau samada menggunakan limau nipis ataupun limau kasturi (menyerupai shushi). Terdapat pelbagai jenis ikan yang boleh digunakan, tetapi biasanya isi ikan tenggiri, sungguhpun isi ikan yu juga boleh digunakan. Selain itu isi sotong atau udang juga boleh digunakan bagi penyediaan Hinava ini.

  • NOONSOM
    Noonsom merupakan sejenis merupakan salah satu hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah, atau lebih dikenali sebagai jeruk dalam Bahasa Melayu. Terdapat beberapa jenis Noonsom dalam masakan Kadazandusun, antara yang paling popular ialah Noonsom Sada (Ikan), Noonsom Bambangan (buah) dan Noonsom Tuhau (ulam).

Noonsom Sada - Ikan yang digunakan ialah jenis ikan air tawar, dibersihkan dan dijeruk menggunakan isi buah Pangi (ditumbuk ), nasi dan garam.
Kesemua bahan tersebut akan dicampur dan diisi ke dalam bekas botol/tajau kecil dan biarkan selama sepuluh atau dua belas hari sebelum dihidangkan.


Noonsom Bambangan - Isi Buah Bambangan dihiris dan dicampur dengan biji buah bambangan yang telah diparut dan sedikit garam.
Apabila kesemua bahan dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol atau tajau kecil dan biarkan selama seminggu sebelum dimakan.


Noonsom Tuhau - Isi Tuhau (sejenis tumbuhan) dihiris halus dan dijeruk dengan cuka, garam dan cili merah.
Apabila kesemua bahan telah dicampurkan, isikan ke dalam bekas botol dan biarkan beberapa minit sebelum dihidangkan.

  • PINAASAKANPinaasakan merupakan sejenis hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Ia merupakan sejenis hidangan yang dihasilkan dengan menggunakan isi ikan ( ikan air tawar/ikan air laut ).Ikan akan dibersihkan dan dicampur dengan sedikit biji kunyit dan halia yang telah ditumbuk, sedikit biji asam jawa atau buah asam 'takob-bakob' , garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kemudian ia akan dipanaskan sehingga mendidih sehingga air hampir kering.
  • SUP MANUK LIHINGSup Manuk Lihing atau lebih dikenali sebagai 'Sup Ayam Lihing' dalam Bahasa Melayu merupakan sejenis hidangan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Bahan yang diperlukan ialah seekor ayam kampung , sejenis minuman keras yang lebih dikenali 'Lihing' di kalangan kaum Kadazandusun dan hirisan halia. Cara menyediakan, rebus daging ayam yang telah dipotong dengan setengah cawan lihing , hirisan halia, garam dan serbuk perasa. Biarkan ia mendidih sehingga daging ayam betul-betul lembut sebelum dihidangkan. Mengikut tradisi kaum Kadazan-Dusun, makanan ini sangat sesuai untuk wanita yang baru lepas bersalin. Kebanyakan makanan tradisi kaum Kadazandusun hari ini boleh didapati di beberapa restoran tertentu yang biasa menyediakan makanan tradisi penduduk tempatan.




























Leia Mais…